Thursday 24 May 2012

Khasiat Ulam-ulaman

Salam semua.. pagi ni lepas hantar anak ummi ke kelas tuition, ummi ke pasar untuk mencari ulam-ulaman. Menurut sahabat karib ummi, ulam-ulam ni patut kita makan seminggu sekali untuk detoxifikasi. Baik untuk usus dan perut. Jadi, ummi pun belilah pucuk gajus, daun kemangi, daun selasih, daun pegaga dan daun pudina.. Mari kita lihat apakah kebaikannya..

Khasiat Daun Pegaga


Menghilangkan bintik-bintik hitam di muka.
Cara-caranya:
   
1. Ambil 10 helai daun pegaga.

Daun pegaga ni memang banyak khasiatnya
Daun pegaga ni memang banyak khasiatnya

2. Basuh dulu kesemua daun tadi dengan air garam.

3. Setelah dicuci, tumbuklah ia sampai halus.

4. Lepas dah halus, campurkan pula dengan bedak sejuk. Sama ada yang ketul mahupun cecair.
   Tapi kalau anda guna bedak sejuk yang ketul, jangan lupa campurkannya dengan sedikit air suam.  
   Supaya ia lebih mudah sebati.

5. Gaul kesemua bahan sampai sebati. Sapukan pada kawasan yang mengalami masalah bintik hitam
    seperti memakai masker. Sapu sebelum tidur dan cucilah muka sehingga bersih pada keesokan paginya.
    Petua ini boleh diamalkan secara terus-menerus setiap malam sehinggalah tujuan anda untuk menghilangkan bintik hitam di wajah tercapai.

Khasiat Pucuk Gajus (juga dikenali sebagai Ketereh, Janggus atau Jambu Golok
     Herba dengan nama saintifiknya Anacardium occidentale ini adalah dari keluarga tumbuhan Anacardiaceae.
    Para penyelidik dari Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM)sebelum ini membuktikan pucuk gajus boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik. Pucuk gajus didapati mengandungi 97.6 peratus aktiviti pembersihan toksik. Di dalam pucuk gajus terdapat bahan antioksida yang boleh meneutralkan dan melawan bahan toksik di dalam badan.
    Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu,pucuk daun gajus boleh melambatkan proses penuaan. Menurut beliau,ini akan membantu wanita yang memakannya memiliki wajah awet muda.

Khasiat Daun Kemangi


Pucuk yang telah dibersihkan dimakan begitu saja sebagai ulam ataupun diminum air rebusannya. Mereka yang mengamalkannya dapat merasakan perbezaan kehalusan kulit di samping ia turut memberi kesegaran kepada tubuh,'' ujar beliau. Tambah Tajuddin, selain khasiat awet muda dan kesegaran tubuh, pucuk gajus juga boleh merendahkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan sakit kencing manis.

Kerabu pucuk gajus

     Menurut beliau, air rebusan pucuk daun atau kulit kayu pokok gajus yang dikumur- kumurkan juga boleh mengubati sakit seriawan atau ulser mulut. Manakala kulit kayu pokok gajus yang digiling sampai lumat boleh merawat luka,badan melecur, sakit gigi, tapak kaki pecah-pecah dan terkena gigitan binatang berbisa.
    Kulit kayu yang telah digiling atau ditumbuk halus itu ditampalkan pada bahagian-bahagian berkenaan. ``Bagi kes sakit digigit binatang bisa, pesakit perlu mengeluarkan bisanya terlebih dahulu sebelum melakukan kaedah rawatan menggunakan kulit kayu gajus ini,'' jelasnya.



     Berkhasiat menyembuhkan gangguan pencernaan, masalah payudara dan gangguan menstruasi.

     Juga berfungsi sebagai bahan penjagaan tubuh seperti sabun mandi, minyak wangi, pelembab tubuh, dan minyak aroma terapi. Namun penggunaan kemangi sebagai minyak urut sebaiknya tidak diaplikasikan terhadap wanita hamil.
    Jika dicampur dengan lulur, kemangi dapat merangsang peredaran darah di tubuh sehingga kulit lebih halus dan berkilau, serta mengatasi masalah jerawat keguguran rambut.

    Kemangi juga boleh mengatasi influenza,  sakit telinga dan sakit kepala / migrain, jangkitan usus, dan gangguan saraf, menghalang gigitan nyamuk.

    Kemangi juga kaya akan betakaroten dan magnesium, mineral penting yang berfungsi menjaga dan memelihara kesihatan jantung.

    Mengatasi masalah perut kembung dan masuk angin, menyapukan rebusan kemangi bersama bawang merah dan minyak kelapa pada bahagian perut, dada dan punggung.

    Mengatasi masalah bau badan dan bau mulut dengan cara meminum air rebusan kemangi.


Khasiat Daun Pudina


      Rasa daun pudina samalah dengan ubat gigi yang kita gunakan setiap hari. Rasa daun ini memang segar sekali.
     Antara khasiat daun pudina yang dikenal pasti adalah baik untuk kulit.Selain itu Khasiat daun pudina juga ialah dapat mengurangkan rasa stress, melegakan batuk,meredakan demam selsema dan boleh dijadikan teh pudina. Sepertimana dengan ulam-ulam yang lain daun pudina juga mempunyai khasiat untuk awet muda.

Khasiat  Daun Pudina,(Benefit of Peppermint
     Pudina merupakan sejenis herba yang berasal dari keluarga Labiatae. Ia tergolong dalam spesies mentha. Tumbuhan ini mempunyai batang yang bersegi dan dedaun yang harum baunya manakala sesetengahnya mengeluarkan bunga-bunga kecil berwarna ungu muda atau merah jambu. Terdapat berbagai-bagai jenis pudina di seluruh dunia, antaranya Mentha spicata " moroc-can",Mentha xsmithiana "rubra",Mentha aquatica Mentha arvensis,Mentha x piperita "crispa" .
  • Khasiat Daun Pudina jenis Mentha spicata " moroc-can" berkesan dalam meredakan kekejangan otot.
  • Khasiat Daun Pudina jenis Mentha aquatica digunakan untuk merawat cirit birit.
  • Mentha arvensis, iaitu sejenis daun pudina Jepun boleh melegakan selsema dan menghilangkan rasa loya.
  • Daun Pudina jenis Mentha x piperita "crispa" boleh menghalau tikus.
Khasiat Daun Pudina bantu Penghadaman.
Kesemua jenis pudina ini juga boleh bertindak sebagai perangsang dan membantu penghadaman serta mengurangkan flatulens. Ia juga bersifat sebagai antiseptik, antiparasit dan anti virus. Pemakanannya boleh meransangkan tubuh badan mengeluarkan peluh.


Daun pudina juga digunakan untuk membuat ubat sapu untuk merawat selesema, sakit kepala, kekejangan otot dan sakit-sakit badan manakala minyak yang diperbuat daripada daun pudina boleh menghilangkan rasa loya serta kejutan dan mempertingkatkan konsentrasi .


Lagi Khasiat Daun PUDINA (Benefit of Peppermint)
Pudina merupakan herba yang biasanya digunakan untuk memberi kesegaran nafas,mencairkan kahak, asma, selsema, anti bacteria dan anti septik.


Daun Pudina kebanyakan digunakan untuk membuat ubat gigi, gula-gula, gula-gula getah, ubat batuk, ubat kumur dan sesetengah produk selsema (in haller). Untuk perubatan tradisional, minyak rebusan daun pudina amat baik untuk masalah bengkak-bengkak sendi, masalah angin, luka, demam selsema, ekzima dan sebagainya.


teh o daun pudina Teh O Daun Pudina dikatakan dapat mengatasi masalah Gastrik


Khasiat Daun Pudina Atasi masalah Gastrik


Khasiat Daun Pudina antaranya ialah mengatasi masalah GASTRIK.
Caranya ialah:
Ambil daun pudina .
Basuh,kemudian buat air teh O kosong (tanpa gula),
rendam 2,3 helai daun pudina ke dalam teh tersebut.
Tutup mulut cawan tadi,dan biarkan lebih kurang dalam 5-10 minit.
Dan akhir sekali minum air tu.Jangan Lupa baca Bismillah.
Cuba amalkan setiap pagi dan petang.

Khasiat Daun Pudina Kurangkan Lelah dan Batuk.

Bahan-bahan:

Daun pudina 14 helai
gula batu (secukup rasa manis).


Caranya:

1. Bersihkan 14 helai daun pudina dan ramas sedikit.
2. Masukkan dalam cawan kaca tahan panas dan bubuh air 3/4 penuh. Masukkan gula batu.
3. Masukkan cawan tersebut ke dalam periuk nasi letrik (nasi sedang mendidih dan bila
    cawan dimasukkan ianya tidak tenggelam.
4. Bila nasi sudah masak (air dah kering), keluarkan cawan dan biarkan sejuk. Keluarkan 
    daun pudina dan minumlah air tersebut 3 hari berturut turut. InsyaAllah kita dapat lihat 
    keberkesanannya.

Wednesday 16 May 2012


Salam semua, hari ini sekali lagi kita menyambut hari guru. Terima kasih ummi ucapkan buat semua insan yang pernah mengajar ummi hingga ummi berjaya menjadi seorang guru hingga kini...

Hari yang sangat indah ini dipenuhi dengan acara senamrobik di sekolah ummi dan ummilah yang menjadi instructornya.. Hebat juga rasa biarpun stepnya agak kucar-kacir, namun ummi berjaya juga mengajar murid-murid semua.

Selesai acara senamrobik, kami berehat lebih kurang 15 minit dan disambung pula dengan acara sukaneka. Ummi merasa begitu seronok sekali kerana biasanya kami kalangan guru yang bagi semangat dan sorakan kepada murid-murid bersukan, tapi pada pagi ini kami semua disorakkan oleh murid-murid. Selesai sukaneka kami berehat dan tepat jam 10.20 pagi kami masuk semula ke dewan untuk menyaksikan siaran langsung Sambutan Hari Guru yang disiarkan dari TV1.

Selesai menikmati tayangan tersebut kami berdikir barat sakan. PK1 ummi yang jadi tukang karut. Kemudian PK HEM naik ke pentas mengalunkan lagu jiwangnya manakala ummi juga tak ketinggalan mendendangkan lagu berjudul "Bossanova" yang pernah dipopularkan oleh Wann dan Biduanita Saloma.
Ummi rasa seronok sekali kerana paling banyak dapat hadiah. Terima kasih duhai anak-anak murid ummi yang amat ummi sayangi.

Di sini juga ingin ummi titipkan kata-kata yang dikirinkan oleh teman ummi. Semoga sama-sama kita renungkan...
" Guru... dahulu baktinya disanjung,
   sekarang bebannya menggunung.
  Guru... dahulu jasanya dikenang,
  Sekarang silapnya dicanang.
  Dahulu, rotan tanda sayang,
  kini rotan kena saman.
  Walaupun berbeza guru dahulu dan sekarang,
  Moga terus ikhlas dan berbahagia menjadi..
  GURU..."

Salam dari ummi..

Monday 14 May 2012

Kebaikan Senamrobik

Salam semua,
Sebagaimana yang kita sedia maklum, senaman amat perlu bagi tubuh badan yang sihat. Kita perlu bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari tiga kali seminggu. Itu sudah memadai bagi kita.

Ummi dan suami sedang sibuk bersenam. Dah lama ummi tinggalkan program senaman dan juga kelas aerobik. Badan pun dah naik dan makin lesu. Bila lesu pelbagai penyakit datang. Entahlah hari-hari sibuk. Tapi itu bukanlah alasan untuk tidak bersenam. Hari ini kita nak kongsi sedikit ilmu mengapa kita harus bersenam serta kebaikan senamrobik pada kita..

Senamrobik bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan malah ianya memberi keseronokan serta kebebasan pergerakan mengikut alunan muzik sehingga mampu dilakukan dalam tempoh yang lama, juga amat baik dijadikan sebagai sebahagian gaya kehidupan seharian.

Aktiviti senamrobik ini dapat mencegah timbulnya penyakit jantung dan pembuluh darah. Selain itu, latihan senamrobik dapat menurunkan kadar lemak dalam badan dan latihan senamrobik ini juga menjadikan jantung lebih kuat.



Empat komponen kecergasan fizikal

1. Ketahanan kardiovaskular:
• Ini ialah keupayaan berterusan jantung, paru-paru dan saluran darah untuk membawa
oksigen ke semua sel dalam badan.
• Ia melibatkan senaman atau aktiviti yang meningkatkan kemampuan jantung dan
paru-paru. Senaman ini juga melibatkan kumpulan otot-otot besar bahagian kaki,
lengan dan bahu.

2. Kecergasan otot melibatkan:
• Dimulakan dengan senaman berselang seli 2-3 minit, dengan 2-3 minit berehat selama
15 minit.
• Aktiviti senaman perlu ditingkatkan 2-3 minit setiap minggu sehingga mencapai 30
minit.

3. Kemudahlenturan/fleksibiliti - kemampuan sendi-sendi bergerak bebas sepenuhnya tanpa
ketidakselesaan.

4. Komposisi badan - Berapa banyak bahagian berat badan anda yang terdiri daripada jisim
otot termasuk tulang dan jisim lemak.

Kebaikan Senaman:
• Meningkatkan kecergasan fizikal anda.
• Merperbaiki keseimbangan, koordinasi dan gaya jalan.
• Meningkatkan tenaga untuk melakukan tugasan harian.
• Mempertingkatkan kepuasan kendiri dan mengurangkan kerisauan.
• Mempercepatkan pemulihan dari penyakit dan tekanan mental.
• Mengawal tekanan darah dan menguatkan jantung.
• Mempertingkatkan kawalan glukos.
• Melambatkan osteoprosis.
• Berpeluang bergaul dengan orang ramai.

Program Sesi Senaman
• Latihan senaman aerobik mengandungi 3 peringkat:
1. Sesi Memanaskan Badan.
2. Sesi Senaman Aerobik.
3. Sesi Menyejukkan Badan.

• Kekerapan - 3 hingga 5 kali seminggu.
• Intensiti - mengikut kemampuan anda

1. Sesi Memanaskan Badan
• Ia membantu otot otot jantung dan sendi-sendi bersedia untuk melakukan aktiviti
sebenar.
• Ini akan dapat melindungi dari kecederaan.
• Ciri-ciri memanaskan badan termasuk :-
a. Jangkamasanya lebih kurang 10 minit.
b. Mulakan dengan senaman ringan seperti berjalan atau berlari anak-anak dan
diakhiri dengan regangan.

2. Sesi Senaman Aerobik
• Melibatkan senaman bagi kumpulan otot-otot besar contohnya berjalan.
• Jangkamasa senaman adalah lebih kurang 10 hingga 30 minit mengikut kemampuan
anda.
Kenalpasti tahap kemampuan anda

3.Sesi Menyejukkan Badan
• Ianya membantu memulihkan semula otot otot dan mengelakkan ketidakselesaan.
• Ciri-ciri sesi menyejukkan badan termasuk:-
a.Jangkamasa lebih kurang 5 hingga 10 minit.
b.Ulang semula sesi memanaskan badan .

Garis Panduan Untuk Memilih Program Latihan Senaman

1. Lakukan senaman mengikut keupayaan fizikal anda.
2. Lakukan secukupnya untuk mendapat manafaat. Selain daripada itu ia
hendaklah menyeronokkan.
3. Jangan lakukan aktiviti di luar kemampuan dan berlebihan.
4. Dapatkan nasihat doktor sebelum memulakan latihan senaman.Sekiranya anda
mengalami masalah kesihatan,sesuaikan senaman dengan tahap aktiviti.
5. Pelbagaikan pergerakan seberapa yang boleh.
6. Pergerakan hendaklah lancar dan bertenaga. Elakkan dari pergerakan terlalu
kasar dan tersentak.
7. Jangan berhenti secara tiba tiba semasa melakukan senaman. Kekalkan
gerakan secara perlahan sebelum lakukan semula senaman.
8. Tetapkan jadual harian senaman anda.




 

Sunday 13 May 2012

Petua Kulit Lebih Cerah

Kulit yang terdedah pada cahaya matahari dan debu dapat membuat kulit tubuh kelihatan kusam dan tidak bermaya. Perawatan lulur dengan menggunakan serbuk kopi dipercayai dapat mengembalikan kecerahan kulit tubuh anda. Biji kopi yang telah dijadikan serbuk akan menghasilkan minyak antioksidan yang bersifat menghaluskan, membuat kulit menjadi cerah dan kelihatan lebih cerah.

Tumbuk ½ kg biji kopi bali sehingga separuh halus, kemudian tambahkan minyak zaitun dan tepung bengkuang secukupnya menjadi paste. Kacau hingga rata. Usapkan lulur kopi ini pada seluruh tubuh anda sambil digosok-gosokan secara perlahan. Biarkan anggaran selama 1 jam agar minyak yang terkandung pada kopi menyerap ke seluruh tubuh. Setelah itu, bilas tubuh sampai bersih dengan menggunakan air yang telah dicampur sedikit garam.

Petua Lebatkan Rambut

Apa yang anda perlukan untuk melebatkan rambut ialah pati santan dari sebiji kelapa. Pati santan kelapa adalah bahan penting dalam usaha untuk melebatkan rambut secara tradisional.

Untuk mendapatkan pati santan, ambil kelapa parut dari sebiji kelapa tua. Masukkan sedikit air suam pada kelapa parut tadi dan ramas-ramaskan. Perah pati santan dari kelapa parut tersebut dan buang hampasnya.

Basahkan rambut anda dahulu dan lumurkan pati santan ke kesluruhan kepala sehingga ke akar rambut. Bungkus kepala dengan tuala bersih dan kering selama setengah jam. Kemudian bilas keseluruhan kepala anda dengan air suam.

Amalkan petua ini 2-3 kali seminggu.

Untuk mengekalkan rambut lebat dan elak dari gugur, amalkan tips ini:

- Pilih syampu rambut yang sesuai dengan jenis rambut anda.
- Gunakan sikat rambut bergigi jarang.
- Pastikan rambut anda benar-benar kering sebelum memakai sebarang produk tambahan seperti krim rambut atau gel. Sama juga untuk wanita bertusung, pastikan rambut benar-benar kering sebelum memamakai tudung.

Petua Turunkan Berat Badan Tanpa Ubat-ubatan..

JANGAN BERLAPAR/ BIARKAN PERUT KOSONG

Makanan adalah sumber tenaga. Apabila kita menggunakan tenaga lebih dari bekalan tenaga dari makanan yang kita ambil, tubuh akan terkejut. Tubuh akan mula membakar 'muscle'(otot) untuk menggantikan makanan. Ini menyebabkan kadar metabolisma tubuh menjadi rendah. Bila anda terlalu lapar, pada kebiasaannya anda akan mengambil makanan dengan lebih banyak. Pada masa ini, walaupun tahap pengambilan makanan anda telah kembali ke paras normal namun kadar metabolisma tubuh masih lagi rendah. Ini menyebabkan kalori tidak terbakar pada tahap yang sama lagi.


AMBIL SESUATU YANG PAHIT SEBELUM MAKAN

Minum kopi dan kumur beberapa saat sebelum makan. Cara ini menyebabkan tekak merasa pahit dan menghantar isyarat melalui otak bagi menggalakkan rembesan enzim dan asid HCL. Kekurangan enzim dan asid HCL di dalam perut boleh menyebabkan ketidaklancaran penghadaman.


MINUM 8 GELAS AIR KOSONG SEHARI

Air kosong mengurangkan selera makan anda secara semulajadi dan dapat membantu proses metabolisma bagi menyingkir simpanan lemak di dalam tubuh. Sebelum makan makanan yang berat, cubalah minum air kosong, pasti anda tidak akan makan dengan banyak.



ELAKMINUM MINUMAN BERKARBONAT

Minuman berkarbonat biasanya mengandungi 7-8 sudu gula dalam satu sajian dan tidak baik untuk kesihatan tubuh.



KURANGKAN PENGAMBILAN GARAM


Pengambilan garam yang tinggi menggalakkan penangkungan air. Mengurangkan pengambilan garam bermakna badan anda menangkung sedikit air. Ini bermakna anda kurang berat yang disebabkan air.


AMBIL SARAPAN PAGI

Anda juga boleh menurunkan berat badan dengan pengambilan sarapan pagi. Menurut satu kajian, mereka yang tidak mengambil sarapan pagi lebih cenderung untuk gemuk berbanding dengan mereka yang mengambilnya. Bagaimana ia terjadi? Sarapan pagi menstabilkan hormone dan paras gula di dalam darah. Kadar metabolsima juga meningkat untuk membakar kalori.


MAKAN PERLAHAN-LAHAN


Nikmatilah makanan dengan perlahan-lahan dan jangan gopoh. Kerana apabila kita makan secara perlahan-lahan, tubuh akan menghantar isyarat menunjukan kepuasan.



KUNYAH MAKANAN KEPADA CEBISAN LEBIH KECIL


Kunyahlah makanan kepada cebisan lebih kecil sebelum menelan kerana dengan cara ini ia lebih mudah dihadam.



MAKAN DENGAN KERAP

Biar makan kerap dengan kuantiti yang sedikit daripada makan hanya sekali, dua tetapi dengan kuantiti yang banyak.


CUCI MULUT

Jika anda terasa ingin makan snek atau makanan ringan, beruslah gigi anda atau kunyahlah gula- gula getah. Rasa mint atau berangin di mulut akan membantutkan selera anda.



PILIH MAKANAN BEREMPAH

Sesetengah rempah seperti cili, biji sawi, didapati boleh membakar kalori. Penambahan lada hitam bukan sahaja meningkatkan penghadaman, ia juga meningkatkan pembakaran lemak.



PILIH MAKANAN BERBIJIRIN/ BERKACANG

Pilih Lebih Banyak Bijirin dan Kekacang Dalam Makanan Bijirin penuh adalah sumber utama tenaga. Bijiran dan hasil bijirin banyak mengandungi karbohidrat kompleks, protein, vitamin, mineral dan sedikit lemak.


DIARI PEMAKANAN


Simpan Satu Diari Simpan satu diari makanan boleh berpengaruh besar dalam proses penurunan berat badan. Rekodkan dalam sehari, berapa kali anda makan dan berapa banyak, tahap kelaparan yang memerlukan anda makan, dan perasaan anda ketika makan. Diari makanan boleh membuatkan anda peka kepada keinginan makan anda. Setelah beberapa lama membuat catatan, perhati dan kenal pasti di mana anda boleh membuat atau perbaiki tabiat pemakanan anda kepada yang lebih sihat. Diari ini juga boleh membuatkan anda lebih fokus dan lebih komited terhadap pelan diet anda. Mulakan diari makanan anda dan rajin-rajinlah membuat catatan.


UTAMAKAN KESIHATAN

Tumpukan perhatian untuk sihat, bukan kurus Ramai orang lebih berjaya dalam penurunan berat badan dalam jangka masa panjang apabila mereka menukar motif mereka daripada untuk kurus kepada untuk kekal sihat dan segar. Tukarlah fikiran anda untuk memikirkan dan memilih makanan apa yang boleh menyihatkan tubuh badan.


CARA MASAKAN

Cara memasak paling baik untuk mengurangi jumlah kalori dalam makanan adalah merebus memanggang atau mengukus. Khusus untuk sayuran, anda boleh menumisnya dengan sedikit minyak(misalnya satu sudu minyak masak). Hindari minyak atau lemak haiwan.



PILIHAN PERKAKAS

Ketika memilih piring makanan, ambilah piring yang rata dan bukan piring cekung. Ambil sayuran dahulu untuk memenuhi piring, kemudian baru nasi dan yang terakhir, lauk dagingnya. Jika ingin tambah, hanya sayuran yang boleh anda ambil. Jangan lupa, makanlah di meja makan dan jangan di sembarang tempat apa lagi sambil menonton tv. Sebab, makin menarik program tv, semakin banyak makanan ringan yang anda habiskan!



TABIAT BERBELANJA
Khusus bagi kaum wanita, yang juga perlu diperhatikan adalah tabiat berbelanja dan memasak. Seelok-eloknya, tidak berbelanja semasa perut kosong. Rancanglah perbelanjaan sesuai dengan keperluan. Jika ingin membeli makanan, kunjungilah dahulu gerai buah dan sayuran. Gerai makanan segera harus anda kunjungi paling akhir sekali jika memang benar-benar memerlukannya.


KURANGKAN GULA

Kurangkan pengambilan gula kerana setiap satu sudu gula mengandungi 32 kilokalori.

AKTIVITI SAMPINGAN

Selain memberi peluang makanan untuk turun, kebiasaan berjalan-jalan sesudah makan akan membantu menghabiskan sebahagian kalori dari makanan itu. Setiap 25 langkah anda berjalan satu kalori akan diguna. Lebih-lebih lagi anda menaiki tangga. Tentu saja semua ini harus dilakukan dengan santai kerana perut anda baru saja terisi.

Untuk mengempiskan perut, gerakan punggung yang ringan tetapi lama akan lebih efektif. Latihan dapat dilakukan dengan alat seperti untuk permainan hula hoop. Gerakan ini mungkin boleh disamakan dengan gerakan penari gelek, dangdut atau hula-hula yang memiliki perut lebih kecil dan cantik.


Beberapa aktiviti fizikal yang mudah untuk langsing

i. Jalan cepat. Gunalah kasut yang cukup selesa dipakai agar kaki tidak melecet dan sihat
ii. Gunakan tangga untuk naik ke tingkat atas. Jika terlalu tinggi,naik tangga untuk beberapa tingkat,kemudian sambunglah denagan menaiki lif
iii. Renang adalah latihan menyeluruh. Berenang dengan laju dengan nafas yang dalam
iv. Bersenam atau peregangan, sangat baik bagi otot-otot dan sendi-sendi yang kaku. Melenturkan otot dapat melancarkan peredaran darah
v. Tunggang basikal dan kayuh perlahan-lahan tetapi dalam tempoh yang lama. Ini dapat mencantik dan merampingkan peha.

Petua hilangkan panau..

Anda menghadapi masalah kulit berpanau?
Cubalah hilangkan panau dengan petua-petua di bawah:

- Ambil halia sebesar ibu jari dan tumbuk hingga lumat. Tepekkan halia yang telah ditumbuk pada bahagian kulit yang berpanau. Biarkan selama 15-20 minit. Amalkan selalu.

- Tenyehkan pucuk lada pada bahagian kulit yang bepanau. Amalkan selalu.

- Tumbuk 2 ulas bawang putih bersama sedikit halia. Sapukan pada bahagian kulit yang berpanau. Biarkan sehingga kering. Amalkan setiap hari.

- Tumbuk beberapa ketul lengkuas dan ambil air perahannya. Sapu air lengkuas pada bahagian kulit yang berpanau. Sementara itu jangan makan makanan yang mengandungi lenkuas. Amalkan selalu.

- Tumbuk beberapa helai daun lengkuas dan ambil air perahannya. Sapukan air perahan tersebut pada bahagian kulit yang berpanau. Sementara itu jangan makan makanan yang mengandungi lenkuas. Amalkan selalu.

- Tumbuk daun pinang hingga lumat dan sapukan pada bahagian kulit yang berpanau. Amalkan selalu.

- Ambil air perahan buah pinang dan sapukan pada bahagian kulit yang berpanau. Amalkan selalu.

- Tumbuk beberapa helai daun belimbing hingga lumat. Campurkan dengan sedikit asam jawa dan sedikit beras. Tempekkan pada bahagian yang berpanau. Amalkan setiap hari.

- Campurkan secekak daun kesum dengan minyak tanah. Gosokkan pada bahagian kulit yang berpanau. Aalkan setiap hari.

- Tumbuk beberapa helai daun gelenggang hingga lumat. Sapukan pada bahagian kulit yang berpanau dan biarkan selama 15-20 minit. Bilas hingga bersih. Amalkan selalu.

Senam Seni 1 MALAYSIA (EDISI 2/2011/JKKN-SPM/RTM)




Senaman ini baik untuk semua peringkat umur.

Senam Seni Malaysia





Senaman ini mudah   ....

SATU MALAYSIA. (dance & walk step By Choreographer) wmv




JOM SIHAT bersama ummi...

"SELAMAT HARI IBU"... untuk semua ibu-ibu di seluruh Malaysia dan di seluruh dunia. Tak kira apapun panggilan yang dipanggil kepada kamu, kamu tetap seorang ibu.. Thank you ibu.. Thank you mama.. Thank you mummy.. Thank you ummi...

Hari ini tanggal 13 Mei 2012 kita sekali lagi berpeluang untuk menyambut hari ibu. Ummi sendiri pun dah sms pagi-pagi lagi sebelum ke sekolah ucapkan "Selamat Hari Ibu" buat mama ummi. Semoga Allah akan ampunkan segala dosa mama dan semoga dicurahkan rahmat ke atas beliau sebagaimana beliau telah curahkan kasih sayangnya yang melimpah ruah kepada ummi sejak dari kecil hinggalah sekarang..

Duhai anak-anak semua, janganlah kita menderhaka kepada ibu, jangan kita sakiti hatinya. Tiap kali lepas solat janganlah kita lupa untuk berdoa kepadanya agar Allah mencurahkan seluruh rahmatnya kepada ibu dan ayah kita.. Barulah berkat doa kita yang lain-lainnya...


Ingatlah duhai anak-anak semua.. sesungguhnya ibulah segala-galanya dalam hidup kita. Kita dapat melihat dunia dan membesar adalah kerana ibu. Ingatlah selalu, jika kita sayang ibu nescaya hidup kita diberkati dunia dan akhirat. Salam dari Ummi...

Tuesday 8 May 2012

Madu dan Racun

Salam semua... pagi tadi kat sekolah ada sorang pak cik datang jual madu. Pak cik tu sibuk duk kempen kat guru-guru yang free kat staff room.. Mari lah mek.. ambik sebotol.. Ni madu asli ni.. Molek buat ubat..
Hmmm... ramai juga yang beli. Rezeki lumayan Pak cik tu hari ni. Ummi je yang tak beli.

Sebut tentang madu ni Ummi pernah dengar tentang khasiatnya. Dulu arwah mak mertua ummi pernah hadiahkan sebotol madu Khaula. Molek katanya buat ubat penyakit lelah. Anak-anak ummi dua-dua ada asma..

Balik dari sekolah ummi dijemput suami. Ummi sibuk duk stori pasal kebaikan dan khasiat madu lebah. Tup tup suami duk cerita tentang rakannya yang kebetulan juga rakan ummi (kami satu sekolah menengah dulu..). Si polan tu baru je naik pelamin buat kali yang kedua. Sedih Ummi dengar. Ummi tak kenal mana dengan isterinya yang pertama. Tapi pernah beraya kat rumah mereka lebih kurang 10 tahun yang lalu. Si polan tu kahwin dengan anak dara tua. Kesian kat isteri dia. Mentang-mentanglah kawan tu dah naik badan sekarang.

Begitulah lelaki.. senang je bila nak kahwin. Macam-macam alasan dia buat. Cakap nak besarkan famili. Maklumlah mereka cuma dapat anak 2 orang. Itu alasan yang paling BODOH sekali yang ummi pernah dengar!. Ada ke macam tu? Cakaplah isteri sekarang dah tak lawa, tak ada selera nak pandang, kan senang?? Tak perlu buat alasan bodoh.

Apa-apa pun ummi ucapkan SELAMAT PENGANTIN BARU lah kat dia.. Hmmm... sebulan dua ni molek lah lagi.. (hanya Allah sahaja yang maha mengetahui..)

Monday 7 May 2012

Walk With Me 2012

Salam semua.. tanggal 3 Mei 2012 Ummi dan rakan-rakan telah menyertai program Walk With Me anjuran Kerabat Diraja Negeri Kelantan. Ummi amat berbangga kerana Ummi adalah diantara 25,300 peserta pada hari tersebut. Kami berkumpul tepat jam 3.00 p.m. Walaupun cuaca panas terik namun Ummi gagahkan diri untuk ikut serta dalam program tersebut.

Ummi lihat ramai peserta yang terdiri dari anak-anak muda berunur 40 tahun ke bawah yang menyertainya. Semangat mereka amat Ummi sanjung tinggi. Budak-budak muda memang suka akan aktiviti sebegini. Begitu juga anak sulung Ummi. Tak membantah bila Ummi bagitau yang namanya turut Ummi daftar dalam program tersebut.

Bangga sangat bila dapat pakai T-shirt warna merah terang. Walau dah tua begini tapi hati masih yakin yang Ummi dapat melaksanakannya. Bukan jauh sangat pun... Cuma 7 km sahaja. Ummi pun biasa berjalan keliling Taman Tg Anis 5 round. Tak de apa-apa pun..

Yang Ummi terkilan sangat adalah apabila ada check point untuk kami berhenti bagi mendapatkan bekalan air mineral free. Ramai yang berhenti untuk ambil air mineral tersebut. Tapi budak-budak muda bukannya minum, tapi air tu dicurahkan pada geng-geng dia orang. Membazir  betul. Lepas tu botol-botol dibuang kat tengah jalan macam tu je. Nasib baik la Ummi sempat mengelak. Kalau tidak tergelincir jatuh macam nangka buruk..

Walau apa pun Ummi ucapkan Tahniah pada semua yang terlibat pada hari tersebut. Terima kasih yang tak terhingga buat Agro Mas yang telah mensponsor air mineral buat kami semua. Apa-apa pun Tahniah untuk Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke 5 kerana sudi mencemarkan duli untuk turut berjalan bersama-sama kami. Ummi terkilan sebab tak dapat ambik gambar tuanku. Ingat nak tayang kat murid-murid kat sekolah. Kesian kat mereka. Bukan main seronok lagi suruh Ummi sampaikan salam kat Tuanku. Yang sebenarnya Tuanku Al-Sultan merupakan sahabat baik suami Ummi sewaktu sekolah rendah dahulu. Mereka sama-sama berkongsi mainan dan juga sticker. Duduk pun satu kelas... Barangkali jika ada peluang ingin Ummi temukan suami dengan Tuanku Al-Sultan Kelantan.. Insyaallah...