Kanak-kanak diibaratkan sebagai sehelai kain putih. Kita sebagai ibubapa yang bertanggungjawab untuk mencorakkan kain tersebut. Jika kena dengan warna dan coraknya maka cantiklah hasilnya nanti. Jika tidak, maka akan berlakulah sebaliknya..
Dalam tempoh perkembangan kanak-kanak sejak dilahirkan sehinggalah berada di sekolah rendah, semuanya dipelajari melalui kaedah peniruan. Pelbagai tingkahlaku kanak-kanak yang berbeza dapat dilihat apabila berada di tahun satu. Ada yang aktif, hiperaktif malah ada juga yang pasif.
Ummi ingin berkongsi cerita mengenai seorang murid tahun satu yang terlalu amat pendiam. Semua soalan yang ditanya oleh guru hanya akan dijawab dengan isyarat angguk dan gelengkan kepala sahaja. Cahaya dari matanya menunjukkan dia takut pada persekitarannya yang baru. Pernah Ummi bertanya pada ayahnya yang kebetulan hadir ke sekolah untuk menjemputnya, adakah dirumah tingkahlakunya sama ketika berada di sekolah? Namun jawapan yang diberi oleh si ayah amat mengejutkan Ummi. Ayahnya memaklumkan di rumah dia suka bercakap dan bergurau-senda dengan abang serta kakaknya. Ummi kemudiannya bertanya pada rakan-rakan sedarjahnya bagaimanakah hubungan dia dan rakan-rakan? Manalah tau kot-kot dia hanya mendiamkan diri kerana takut bila berhadapan dengan guru-guru sahaja. Namun mereka memberitahu Ummi bahawa dia tetap tidak akan berbicara walau sepatah kata pun..
Hari ini sudah masuk lima bulan hari persekolahan dan Ummi masih menantikan perkembangan positif darinya. Ummi benar-benar berharap agar dia dapat bertutur dan berkata-kata dengan guru dan rakan-rakannya sebagaimana murid-murid yang lain. Semoga dia akan lebih yakin dan berani kerana apa yang ada pada hari ini merupakan permulaan untuk menghadapi hari esok... Wassallam.
No comments:
Post a Comment